»

Pages

Showing posts with label Cerita Yang Saya Suka. Show all posts
Showing posts with label Cerita Yang Saya Suka. Show all posts

Wednesday, November 23, 2011

Kasarnya Tapak Tangan Ibu



Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."

Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."

Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.

Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"

Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.

Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.

Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.

Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.

Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.

Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.

Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.

Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"

Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."

Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"

Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."

Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.

Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.

Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

Friday, September 16, 2011

Kisah Cinta Kopi Masin




Dia baru sahaja tamat belajar sebagai seorang doktor di UK. Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup. Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan sebuah ma'had tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik. Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.

Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.

"Astaghfirullah", bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya. Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis ini sebagai isterinya.

Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu,"kau kenalkah gadis itu?"

“Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa.Dan masih belum berpunya lagi”, jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor muda ini!

Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata

"Berikan saya kopi masin!"

Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus meminumnya.

Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"

"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut....masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini" jawab lelaki ini.

Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan, mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya. Dia pasti seorang yang menyintai dan begitu mengambil berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sanggat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.

Setelah peristiwa tersebur, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di ma'had tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka.

Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.

Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.

"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak sanggup melukakan hatimu..

Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."

Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.

Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya,"Bagaimana rasa kopi yang masin?"

Dia dengan pastinya menjawab,"Rasanya manis sekali"

Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan,

Dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.

Wallahu a’lam.



Salam sayang,